Cipta Power Inverter
FAKULTI Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, telah menghasilkan Power Inverter sebagai sumber tenaga utama bagi mewujudkan pasar malam hijau.
Ketua Projeknya, Dr. Nur Faizal Kasri berkata, penggunaan Power Inverter bagi menggantikan generator minyak di pasar malam ke arah mewujudkan pasar malam rendah karbon di Johor.
“Penggunaan penjana elektrik berasaskan bahan api biasanya melepaskan gas karbon monoksida, menghasilkan pencemaran bunyi, kos bahan api dan memerlukan penyelenggaraan berkala secara berterusan.
“Generator juga menghasilkan ‘carbon bubble’ di kawasan pasar malam dan sekitarnya,” katanya kepada K-Tekno baru-baru ini.
Tambah Nur Faizal, berbanding penggunaan Power Inverter yang dapat mengurangkan pencemaran udara, teknologi baharu itu juga dapat mengurangkan bunyi bising selain menjimatkan kos serta mewujudkan kawasan rendah karbon.
Jelas beliau, bagi melaksanakan projek tersebut, pihaknya menerima Geran Komuniti Rendah Karbon 4.0 sebanyak RM20,000 daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
“Projek ini bermula pada bulan Julai tahun lalu dengan lawatan ke tapak pasar malam di Taman Universiti dengan mengenal pasti peniaga yang berminat menyertai projek ini dan peniaga didedahkan dengan teknologi Power Inverter.
“Selain UTM, Kolej Universiti Selatan juga terlibat menjayakan projek ini yang mengambil masa selama selama empat bulan untuk melaksanakannya termasuk uji kaji dan sebagainya,” tambahnya.
Turut sama terlibat dalam projek ini, Prof. Madya Ir. Dr. Mohd. Junaidi Abdul Aziz, Dr. Aizat Azmi dan Dr. Nur Dalilah Nordin yang merupakan pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UTM.
Jelas Nur Faizal, setelah melalui uji kaji dan berpuas hati dengan kemampuan Power Inverter, satu majlis penyerahan telah diadakan kepada peniaga pasar malam di Taman Teratai Johor Bahru yang melibatkan 20 orang peniaga. Katanya, Power Inverter berkapasiti 300 watt ini mampu membekalkan kuasa kepada 30 lampu sistem pencahayaan diod pemancar cahaya (LED) 10 watt secara serentak, para peniaga turut menerima bateri 12V, kabel pemacu dan pengecas bateri dalam satu pakej lengkap.
“Salah satu kelebihan utama Power Inverter ini adalah dari segi kos. Pengecasan bateri hanya memerlukan kos 50 sen untuk satu kali cas, jauh lebih murah berbanding petrol sebanyak RM6 sehari.
“Dengan bateri berkapasiti penuh dan beban elektrik 100 watt, Power Inverter ini mampu bertahan selama empat jam, mencukupi untuk kegunaan di pasar malam yang biasanya beroperasi dari pukul 7 malam hingga 10 malam,” terang beliau.
Beliau berkata, penyerahan Power Inverter kepada para peniaga pasar malam di Taman Teratai telah disempurnakan oleh Ahli Majlis MBIP kawasan Pulai Indah, Nobli Nassir dan New Kian Kiong Ahli Majlis kawasan Taman Teratai. Dalam pada itu, Nur Faizal memberitahu, inisiatif seperti ini wajar dijadikan contoh dan diperluaskan ke pasar malam lain di seluruh negara, bukan sahaja memberi manfaat kepada peniaga dari segi kos, malah menyumbang kepada usaha menjaga alam sekitar.
Pihaknya juga bersedia menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain di negeri Johor bagi membekalkan Power Inverter kepada peniaga pasar malam di kawasan PBT masing-masing.
“Ini sejajar dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara rendah karbon merupakan salah satu daripada tujuh keutamaan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dengan menyasarkan kewujudan 200 zon rendah karbon di seluruh negara menjelang 2030.

Ulasan
Catat Ulasan